Thursday, February 11, 2010


Penggunaan Internet perlu pengawasan

Oleh: MOHD. ANNUAR ZAINI


KEPESATAN pembangunan negara dan kecanggihan teknologi moden masa kini memberi banyak ruang untuk pembangunan teknologi maklumat.


Ketika ini, kita mempunyai sekurang-kurangnya tiga saluran utama sumber maklumat: media cetak yang merangkumi penerbitan majalah, surat khabar, risalah dan pelbagai bahan cetak lain; media penyiaran yang merangkumi radio dan televisyen dan yang terbaru media 'siber' yang merangkumi saluran Internet.


Ketiga-tiga saluran utama ini menyediakan ruang yang memberikan kebebasan bersuara kepada rakyat di sesuai dengan peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Malaysia.

Untuk memastikan hak kebebasan bersuara itu tidak disalahgunakan, pelbagai perundangan digubal bagi mengawasi operasi media cetak dan media penyiaran di negara kita, bertujuan memastikan bahan maklumat yang disampaikan melalui media cetak dan media penyiaran itu dilaksanakan dengan bertanggungjawab. Untuk menjamin media cetak dan media penyiaran mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam melapor atau menyiar sesuatu berita, Parlimen telah meluluskan undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Penyiaran, Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta pelbagai undang-undang lain.

Melalui perundangan-perundangan tersebut penerbit serta pengarang perlu mengamalkan sikap tanggungjawab serta beretika semasa menerbitkan atau menyiarkan sesuatu maklumat untuk tatapan umum.

Di samping itu, media cetak dan media penyiaran juga perlu menghormati dan berhati-hati dari segi perundangan sivil, yang membolehkan penerbit atau pengarang dikenakan tindakan sivil oleh mana-mana organisasi mahupun orang perseorangan sekiranya berlaku keterlanjuran semasa menerbit atau menyiarkan sesuatu berita. Perundangan-perundangan yang berkuat kuasa ini dapat menjaminkan bahawa bahan-bahan penerbitan atau penyiaran yang diterbitkan atau disiarkan adalah tepat, sahih dan diteliti dengan penuh tanggungjawab oleh penerbit atau pengarang.

Negara kita yang sedang pesat membangun kini melangkah ke era 'siber'. Saluran Internet telah diperkenalkan sebagai satu alternatif kepada sumber maklumat yang dahulunya dimonopoli oleh media cetak dan penyiaran. Internet dikenal pasti oleh generasi muda sebagai satu saluran yang mudah, murah serta terkini. Setiap pengguna atau pelawat ke laman-laman 'web' yang melingkari teknologi tiada batasan ini akan dapat menikmati maklumat terkini sambil menyumbang secara langsung bahan-bahan mereka sendiri untuk penyebaran menerusi saluran yang sama.

Saluran Internet yang membuka ruang penyebaran maklumat yang begitu luas dan bebas terbukti kini turut dipergunakan sebagai saluran untuk menyebarkan maklumat-maklumat yang sangat diragukan kesahihan atau ketepatannya. Internet merupakan saluran yang ketika ini seolah-olah mempunyai satu kebebasan dari apa jua klausa dan peruntukan perundangan untuk menapis sesuatu bahan sebelum disebarkan. Justeru, saluran Internet sebagai perantaraan atau 'medium' yang tidak mempunyai sebarang mekanisme tapisan amat terbuka kepada penyalahgunaan, baik dari segi penyampaian maklumat palsu mahupun penyebaran fitnah, tuduhan tidak berasas atau cerita-cerita sensasi yang dapat menarik minat pengguna mahupun pelawat ke laman-laman web di Internet.

Keadaan ini memungkinkan saluran Internet dipersalahgunakan untuk kepentingan sesiapa sahaja tanpa menghiraukan risiko sosial ataupun kerosakan yang boleh dilakukan terhadap kestabilan politik atau ekonomi sesebuah negara malah boleh sampai ke tahap yang dapat menjejaskan keselamatan negara. Ketiadaan sebarang mekanisme sekatan dan pengawasan terhadap penyebaran maklumat menerusi saluran Internet kini telah begitu dipersalahgunakan untuk menyebarkan berita palsu dan fitnah yang boleh memesongkan pemikiran generasi kini dan akan datang.

Memang tidak dapat dinafikan saluran Internet mempunyai pelbagai kelebihan berbanding media cetak dan media penyiaran. Dalam kita mengakui kelebihan-kelebihan teknologi melalui saluran Internet kita juga harus mula memikirkan kesan dan akibah dari penyalahgunaan teknologi tersebut. Apapun Internet kini telah dikenal pasti oleh anggota masyarakat terutama generasi muda sebagai alternatif untuk kononnya memperoleh berita-berita sebenar yang lebih 'autentik'. Persepsi tersebut walaupun memberi satu kemenangan kepada pembekal maklumat di saluran Internet tetapi sedang mengocak pembinaan budaya dan pembangunan mental terutamanya di kalangan generasi muda.

Keadaan ini tentunya mewujudkan satu dilema, sama ada kita bersedia berpeluk tubuh dan meredhakan pembentukan sebuah masyarakat yang persepsi dan pemikiran mereka dipengaruhi dan diasaskan atas bahan palsu dan fitnah. Kini terdapat perbezaan ketara di antara amalan media cetak serta media penyiaran yang menghormati tanggungjawab sosial dan moral dalam penyiaran atau penerbitan sesuatu maklumat berbanding dengan saluran Internet yang begitu bebas menyebarkan maklumat tanpa sebarang pengawasan dan penapisan. Sangatlah aneh apabila bahan berita yang disiarkan secara bertanggungjawab oleh media cetak dan media penyiaran dianggap tidak credible sedangkan cerita-cerita serta maklumat sensasi serta panas yang diperoleh melalui saluran Internet begitu mudah diterima kesahihannya.

Dari segi hakikatnya, bahan-bahan berita yang disiar dan diterbitkan melalui media cetak dan media penyiaran yang lebih credible kandungannya dipersoalkan kesahihannya hanya disebabkan mereka tidak bersedia memuatkan bahan-bahan sensasi. Disebabkan sifat tanggungjawab tinggi yang menjadi amalan mereka, kredibiliti mereka dipertikaikan lalu fikiran masyarakat diracuni untuk menolak kebenaran. Di sebaliknya masyarakat digalakkan menerima fitnah betapa tidak tepat sekali pun hanya kerana bahan maklumat tersebut disiarkan tanpa mematuhi dan menghormati sebarang perundangan dan peraturan.

Adalah membahayakan apabila masyarakat kini mula disemai dengan budaya yang mempercayai dan menerima bahan-bahan berita palsu sebagai sesuatu yang sahih dan tepat tetapi menganggap sumber berita dari saluran yang bertanggungjawab sebagai palsu.' Apatah lagi jika bahan-bahan yang disiarkan dalam laman-laman Internet itu membawa cerita-cerita sensasi yang sealiran dengan fahaman atau ideologi seseorang atau sesuatu gerakan. Disebabkan ketaksuban kepada sesuatu aliran pemikiran dan fahaman, maka para pelawat ke laman-laman web di dalam Internet menelan bulat-bulat segala isi kandungan dan bahan yang terkandung di dalamnya jika bahan-bahan tersebut dianggap secocok dengan aliran pemikiran dan fahaman mereka.

Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan amatlah membimbangkan dari segi pengaruh terhadap pembentukan budaya sebuah masyarakat berilmu yang sepatutnya diasaskan kepada fakta dan kebenaran. Amatlah tidak sihat apabila masyarakat terutama generasi muda dan remaja mula diracuni fikiran hingga menolak kebenaran semata-mata kerana bahan berita tersebut disiarkan atau diterbitkan oleh media yang mematuhi syarat-syarat perundangan tetapi tanpa ragu memamah apa juga bahan yang dipaparkan dalam laman-laman web.

Bagaimanakah nanti rupa bentuk warga di negara kita di masa hadapan yang tidak lagi berupaya membuat pertimbangan rasional berdasarkan ilmu dan fakta yang tepat dan betul.
Apakah tanpa kita sedari kita sedang menggalakkan generasi muda kita berenang dalam lautan fitnah dan kita bertanggungjawab menghanyutkan mereka dalam arus fitnah itu. Adakah kita senang melihat kebangkitan satu barisan generasi muda yang mempunyai prasangka kepada kenyataan dan kebenaran tetapi menerima dengan senang bahan-bahan fitnah dan kepalsuan.
Langkah-langkah pembetulan yang berkesan perlu dilaksanakan segera untuk membendung gejala kurang sihat disebabkan penyalahgunaan perkembangan teknologi komunikasi kini. Adalah penting diberikan perhatian supaya warga di negara ini tidak dibiarkan tenggelam dalam gelombang fitnah.

Oleh itu didikan sempurna serta garis panduan harus diberikan terutama sekali kepada generasi muda supaya mereka dapat membezakan di antara kebenaran dan kepalsuan. Pemikiran generasi muda harus dipersiapkan supaya tidak mudah dikaburi oleh bahan-bahan tidak bertapis atau berasas yang disebarkan tanpa batas menerusi saluran Internet.

Ibu bapa dan masyarakat dewasa, para pendidik dan mahaguru, para ilmuan dan ulama, malah setiap warga yang memiliki kesedaran bertanggungjawab untuk membimbing generasi muda kita supaya mempunyai keupayaan membezakan antara kebenaran dan kepalsuan.

Kealpaan masyarakat terhadap risiko membiarkan gejala tidak sihat di Internet berterusan hanya akan merugikan masyarakat serta negara. Dikhuatiri masyarakat berilmu dengan kekuatan mental yang cekal tidak dapat dibentuk. Apakah kita sanggup meredhakan warganegara kita khususnya generasi muda kita dewasa dalam budaya yang tidak bersandarkan fakta dan kenyataan? Sanggupkah kita membiarkan mereka mempunyai prasangka terhadap kebenaran tetapi mudah menerima fitnah? Nyatalah saluran Internet laksana senjata bermata dua - jika dipersalahgunakan boleh membunuh diri sendiri. Oleh itu adalah penting untuk setiap warga disedarkan tentang pentingnya memahami objektif secara rasional. Warga yang dikurniakan akal dan fikiran tidak harus merelakan diri untuk dijadikan abdi kepada penyalahgunaan teknologi komunikasi.


0 comments:

Post a Comment